Khamis, 7 Ogos 2014

Ibu, bayi hilang ditemui selamat



Nor Syamila dan Muhamad Aqifshamil ditemui di Balai Polis Tapah dalam keadaan selamat.

Alor Gajah: Seorang wanita dan bayinya berusia dua bulan yang dilaporkan hilang di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh di sini, Isnin lalu, ditemui selamat di Tapah, Perak, semalam. 

Nor Syamila Md Nor, 27, dan Muhamad Aqifshamil yang ditemui orang ramai dalam keadaan lemah, dihantar ke Balai Polis Tapah jam 11.55 pagi. 

kereta dipandu wanita itu kehabisan minyak sebelum ditemui orang awam di tepi jalan sebelum menghantar mereka ke balai polis. 

Suami mangsa, Mohd Razis Rubaahi, 27, bersyukur kerana isteri dan anaknya selamat walaupun keadaan mereka agak lemah selepas hilang kira-kira 48 jam. 

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu berkata, dia mengetahui isteri dan anaknya ditemui selepas dihubungi oleh anggota polis. 

“Syukur tidak terhingga kerana doa saya dan rakan yang bersimpati dengan musibah ini... akhirnya isteri dan anak saya ditemui,” katanya. 

Dalam kejadian Isnin lalu, wanita itu yang memandu kereta membawa bersama anaknya untuk pulang ke Lumut selepas berhari raya di kampung di Johor. 

Muntah darah 

Ketika singgah di surau R&R Ayer Keroh, wanita itu dikatakan muntah darah sebelum pengsan. Dua beranak itu kemudian dihantar ke klinik di Melaka oleh seorang lelaki yang kemudian menghubungi Mohd Razis untuk memaklumkan kejadian itu. 

Berita kehilangan dua beranak itu turut tersebar di laman media sosial. 
Mohd Razis yang gagal menghubungi semula lelaki berkenaan, membuat laporan di Balai Polis Seri Manjung, jam 2 petang kelmarin. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abd Rahman Jid, berkata siasatan awal mendapati wanita bersama anaknya itu berhenti rehat sebelum muntah darah dan dihantar seorang lelaki ke sebuah klinik di Alor Gajah. 

“Lelaki itu meninggalkan dua beranak itu di klinik kerana bergegas ke tempat kerja sebelum menyedari barangan berharga milik mangsa tertinggal di dalam keretanya. 

“Disebabkan kejadian itu, suami mangsa gagal mengesan isteri dan bayinya, sebelum mereka ditemui selamat pagi tadi (semalam),” katanya.

sumber : Berita Harian

1 ulasan:

  1. alhamdulillah dh ditemui..asalkan selamat kan.. :)

    BalasPadam